Pemuda Pas kelantan Mencabar Awang Selamat Berdebat

Pemuda Pas ajak Awang Selamat bersemuka


KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) mengajak penulis, Awang Selamat bersemuka berhubung tulisan dalam sebuah akhbar berbahasa Malaysia, pada 19 Disember lalu yang menyifatkan Pas menjadi pak turut kepada DAP dan PKR.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebagai wartawan senior, Awang Selamat sepatutnya lebih beretika serta tidak mengetepikan budaya kewartawanan profesional dengan menampakkan kebencian melampau terhadap PR dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, penulis itu seolah-olah mahu membuktikan bahawa dia terus bersedia mengampu UMNO dulu, kini dan selamanya sehingga tidak nampak kebaikan dalam pakatan. “Negeri Kelantan yang diterajui Nik Abdul Aziz selama lebih 20 tahun yang bersih tanpa rasuah dan penyelewengan berbeza dengan kebanyakan pimpinan UMNO yang terlibat dengan pelbagai skandal dan tuduhan, tapi Awang Selamat tidak memberi fokus kepada isu-isu itu.

"Kami mencabarnya agar membuktikan mana prinsip Islam yang digadaikan Pas sewaktu bersama PR, kami juga berbesar hati mempelawa Awang Selamat agar bersemuka di mana-mana pentas di atas tajuk ini, jangan hanya berselindung di sebalik nama samaran,” katanya.

DPPNK juga katanya, kesal terhadap tuduhan yang bernada serupa dikeluarkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin melalui tulisannya dalam akhbar sama. Demikian juga kenyataan yang mempertikaikan ucapan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang memberikan respons positif terhadap Islam dengan mengisytiharkan secara terbuka menerima prinsip Islam sebagai agama rasmi negara.SinarHarian


Ulasan