Demo : Polis Sekali Lagi Guna Kekerasan, Ratusan Peserta Ditangkap



KUALA LUMPUR 27 FEB : Polis Simpanan Persekutuan (FRU) hari ini sekali lagi menggunakan kekerasan sebelum menangkap ratusan rakyat kaum India yang membantah dasar-dasar rasis Umno dan penggunaan sebuah novel kontroversi sebagai buku teks di sekolah.

Menurut pihak polis, seramai 109 penunjuk perasaan ditahan, namun mengikut penganjur perhimpunan jumlah tangkapan melebihi 300 orang.

Sebelum ini ratusan aktivis dan orang ramai berhimpun di beberapa tempat sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur, dalam adegan-adegan yang mirip dengan tunjuk perasaan anjuran Hindraf pada tahun 2007.

Tunjuk perasaan lebih 10,000 orang itu menjadi puncak kemarahan kaum India terhadap Umno-Barisan Nasional , sebagaimana yang dizahirkan pada pilihanraya umum tahun 2008.

Kali ini, walaupun jumlah yang hadir adalah lebih rendah, namun kemarahan terhadap dasar-dasar diskriminasi Umno-BN masih kuat membara.

Mereka berkumpul dari awal pagi, penduduk kaum India yang sekali lagi menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap dasar-dasar Umno-Barisan Nasional.

Walaupun diberi pelbagai janji oleh Perdana Menteri Najib Razak, namun mereka terus terpinggir dalam pelbagai isu, walaupun merangkumi kaum ketiga terbesar di Malaysia.

Kali ini api kemarahan disemarakkan dengan keengganan kerajaan menarik balik buku novel Interlok yang menggunakan ungkapan yang menghina kaum India.

Penganjur bantahan menjanjikan tunjuk perasaan yang aman, dengan syarat tidak ada campurtangan polis. Dan mereka merujuk nasihat Perdana Menteri Najib Razak kepada dunia Islam untuk tidak menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang mahu menyuarakan pandangan mereka.

Namun nasihat Perdana menteri itu jelas tidak digunapakai di Malaysia sendiri.

Penunjuk perasaan dikasari, ada yang dipijak kepala sebelum digari untuk di bawa ke lokap polis.

Mereka berkumpul secara aman di beberapa lokasi termasuk Hotel Maya, Hotel Renaissance, KLCC dan sebuah kuil di Jalan Pudu.

Ratusan polis lengkap dengan trak meriam air, senjata automatik dan gas pemedih mata, melakukan tangkapan ke atas sesiapa sahaja yang dipercayai menyertai tunjuk perasaan ini .Seramai 103 orang di tangkap di bawah Akta Polis dan Akta Pertubuhan.

Antara yang ditahan adalah P.Uthayakumar, seorang peguam dan pengasas Hindraf serta Parti Hak Asasi Malaysia. Beliau sebelum ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana menganjur tunjuk persaan Hindraf yang terdahulu. Turut ditahan dua wartawan dari media alternatif yang dituduh menghalang polis daripada menjalankan tugas mereka.

"Kami dilayan seperti anjing oleh polis. Kita menganggotai Majlis Keselamatan PBB tetapi kerajaan melayan rakyatnya sendiri seperti ini," kata M.Ganeson, penasihat Parti Hak Asasi sebelum beliau ditangkap oleh polis.

Mereka yang ditahan di bawa ke beberapa balai polis di sekitar Kuala Lumpur. Penyokong termasuk ahli keluarga mereka yang ditahan berkumpul di luar balai polis setelah tidak dibenarkan masuk untuk berjumpa mereka. Isteri Uthayakumar turut dilarang berjumpa suaminya. Antara yang hadir untuk memberi bantuan guaman adalah peguam dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

"Ini satu lagi contoh penyalahgunaan kuasa untuk menghalang protes, jadi kami mahu tahanan dibebaskan secepat mungkin," kata Gobind.TVSNEWS

Ulasan