Tok Guru : Dilema Melayu kerana tolak Islam

Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990 adalah tercatat dalam sejarah. Hakikatnya pelaksanaan DEB menyebabkan Bumiputera tak kemana, melainkan ada segolongan sahaja yang mengecapi nikmat. Tetap sasaran pemilikan kekayaan negara hanya 18 daripada 30 peratus yang disasarkan. Kenapaa gagal? Dr. Mahathir selaku perdana menteri masa itu ada jawapan sebenar. Habis kenapa Dr. Mahathir sembunyi punca?

Kita sedang menyambut maulud Nabi Muhammad SAW maka kita sepatutnya mengambil ajaran Nabi, iaitu mengajar kita menjalin persaudaraan dan berkasih sayang. Nabi tidak ajar kita supaya mementingkan bangsa. Justeru tidak harus kita mengungkitkan soal dilema atau tidaknya bangsa kita.

Bila sebut kepentingan satu-satu bangsa, sudah tentu akan ada bangsa lain yang sensitif dan berdendam. Maknanya bila diutamakan kepentingan orang Melayu, sudah tentu orang Cina dan India akan berdendam, kerana inginkan kepentingan yang sama. Atas dasar inilah Islam mengajar kita mengutamakan persaudaraan. Lantaran atas nama bangsa akan timbul apa sahaja tindak balas berupa dendam kesumat.

Islam meletakkan asas, iaitu masing-masingnya tidak boleh dendam kesumat dan dengki mendengki. Inilah kelebihan Islam yang tidak mengajar kita menghina satu-satu bangsa. Malah Islam tidak membenarkan berlaku hina-menghina antara darjat satu-satu bangsa. Termasuklah si-kaya tidak boleh menghina si-miskin, kerana si-kaya adalah saudara dengan si-miskin.

Demikian pula, semangat persaudaraan dan tolong-menolong merupakan ajaran Islam yang menjamin kehidupan manusia, tidak kira bangsa apa sekalipun agar hidup dengan aman dan damai. Justeru semangat ini dipakai di dalam solat berjemaah. Dalam kaedah solat berjemaah, setiap orang tidak kira Melayu, Cina atau India asalkan Muslim, ia tetap layak atau boleh menjadi Imam solat jemaah. Hatta dalam masyarakat yang majoriti Melayu sekalipun, sesiapa sahaja boleh jadi Imam, tidak kira apa bangsa sama ada Cina atau India asalkan layak.

Demikian lagi di dalam ajaran Islam, sesiapa sahaja yang datang awal untuk solat berjemaah, maka dia boleh duduk (masuk) di saf depan. Ia tidak mensyaratkan semestinya bangsa Melayu sahaja boleh duduk di saf itu. Hal yang sama diajar oleh Islam, iaitu sesiapa sahaja boleh menjadi khatib (berkhutbah) tidak kira apa bangsa sekalipun. Apa yang penting seseorang itu boleh berkhutbah dengan memenuhi rukunnya seperti boleh baca al-Quran dan hadis serta berpesan-pesan dengan keimanan dan ketakwaan. Hal ini membuktikan kebaikan ajaran Islam dan cara-cara bagaimana Islam meletakkan titik persamaan antara bangsa-bangsa di dunia ini berasaskan prinsip kenal-mengenal dan bersatu padu serta ketakwaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan kita semua (al-Quran surah Hujurat ayat 13):

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Justeru itu tidak timbul isu dilema Melayu atau dilema mana-mana kaum apabila persoalan bangsa dan perjuangan sesuatu kaum itu berteraskan kepada ajaran Islam. Apa yang penting diamalkan ialah kita semua menjadi hamba abdi kepada Allah SWT. Sebagaimana seruan azan memanggil solat , disebutkan “Allahu Akbar” maka yang maha besar ialah Allah bukannya Melayu atau Cina atau India. Sementara di dalam bacaan tahyat dan salam terangkum maksud memuliakan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta ucapan selamat kepada seluruh bangsa di dunia ini. Maka inilah kehebatan faedah ibadat dan muamalat yang digabung dalam solat gunanya untuk dipraktikkan di dalam kehidupan manusia.

Sekali lagi diulangi, tidak timbul langsung dilema Melayu di sisi Islam. Ini kerana Islam sudah menyediakan ramuan yang cukup untuk dijadikan panduan hidup bagi mencapai keamanan, kedamaian serta kemakmuran di dunai sampai ke akhirat.

Namun timbulnya kegelisahan sehingga mencetuskan isu Melayu dalam dilema adalah kerana berpunca daripada ajaran Umno yang menolak perjuangan berasaskan bangsa. Akhirnya ia menyesatkan bangsa itu sendiri akibat tidak percayakan kepada kebaikan ajaran agamanya sendiri. Sedangkan di dalam surah Al-Fatihah (ayat 5-7) Islam mengajar kita agar memohon daripada Allah agar menunjuki jalan yang benar dan menjauhi jalan yang sesat:

Amatlah malang jika kita terus engkar dengan mengagung-agungkan bangsa, sedangkan ia bukan ajaran Nabi. Seharusnya kita tidak boleh melakukan suatu seruan perjuangan yang bercanggah dengan maksud surah Al-Fatihah ini. Caranya, kita tidak boleh menerima seruan perjuangan Melayu yang menolak Islam. Bila tolak Islam maknanya terima ajaran sekular. Atas sifat sekular, mereka itu akan terus berbelit-belit (mereka-reka berbagai-bagai hujah) hinggalah sanggup duduk di atas prinsip “agama lain (suku), politik lain (suku).” Lalu timbulnya ajaran yang asing dari Islam. Antara mengajar umat Islam supaya “tidak bawa politik ke masjid kerana masjid itu tempat beribadat.” Apakah ajaran seperti ini pernah diajar oleh Nabi Muhammad SAW? Sebenarnya, Nabi sendiri tidak pernah ajar supaya “perkara politik itu disebut di luar masjid.”

Memahami maksud di atas, maka di dalam azan (seruan solat) telah mengandungi makna yang jelas. Betapa ajakan beramai-ramai ke masjid untuk solat jemaah itu sendiri adalah urusan politik. Arahan Bilal ataupun Imam supaya ‘perbetulkan saf’ juga suatu nilai penyatuan bersifat politik ketika memulakan solat.

Demikian pula, khutbah Jumaat atau khutbah hari raya merupakan ceramah mingguan/musim perayaan di atas mimbar masjid juga menyentuh semua perkara yang relevan dengan kehidupan manusia. Maknanya di dalam masa berkhutbah, pihak khatib adalah penceramah yang menyampaikan seruan Islam demi kebaikan sistem hidup yang lengkap termasuk aspek sosial, ekonomi dan politik.

Maka terimalah perjuangan Islam, tinggalkan perjuangan sekular dan sudah tentu kita tidak akan berdilema dengan identiti siapa kita. Hakikatnya kita adalah hamba-Nya yang wajib patuh dan taat kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Oleh :
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS.

Ulasan