KUALA LUMPUR, 7 Feb — Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan mengumumkan kadar dividen lebih tinggi bagi tahun 2010 berbanding paras yang dibayar tahun sebelumnya.
Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan, secara perbandingan kadar kenaikan bagi tahun 2010 adalah rendah berbanding kenaikan yang diumumkan pada 2009.
Sumber memberitahu lembaga KWSP dalam mesyuaratnya bulan lalu memutuskan untuk membayar sekitar 5.85 peratus bagi tahun 2010.
“Lembaga memutuskan untuk memberikan kenaikan kecil, kira-kira 0.2 peratus.
“Tetapi, ya, kenaikan kali ini tidak setinggi berbanding kenaikan sebelum ini (2009),” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Kenaikan yang kecil kali ini berkait dengan kadar pulangan diperoleh KWSP, kata sumber tetapi tidak menyatakan jumlah pendapatan bersihnya.
Bagi tahun 2009, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.65 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2008.
Kadar dividen 2009 itu diisytihar setelah KWSP memperoleh pendapatan bersih tertinggi pernah dicapai sebanyak RM19.63 bilion.
Sumber itu berkata, kadar itu dicadangkan oleh panel pelaburan pada mesyuarat lembaga KWSP bulan lalu dan dijangka akan dibawa untuk kelulusan Menteri Kewangan.
Lazimnya Menteri Kewangan akan meluluskan syor yang dikemukakan oleh lembaga KWSP melainkan mengambil kira pertimbangan-pertimbangan lain untuk membuat perubahan.
Pengumuman dijangka dibuat hujung bulan ini ataupun awal Mac.
Pada 2008, KWSP membayar dividen 4.5 peratus, 2007 (5.8 peratus), 2006 (5.15) dan 2005 (lima peratus).
KWSP membayar dividen tertinggi 8.5 peratus pada 1983 dan 1986.Mengikut laporan sebelum ini, pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga yang berakhir 30 September lalu meningkat 5.12 peratus kepada RM5.75 bilion berbanding RM5.47 bilion pada tempoh sama tahun 2009. Sehingga 30 September lalu, jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pelbagai jenis instrumen pelaburan adalah sebanyak RM425.49 bilion.
Ia juga mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM5.55 bilion bagi suku pertama tahun ini, kenaikan sebanyak 70 peratus berbanding RM3.26 bilion pada tempoh yang sama 2009 dan suku kedua tahun lalu pula merekodkan RM5.93 bilion.
KWSP mempunyai sekitar 6.3 juta pencarum.TheMalaysiaInsider
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..