Aku tak heran bila Matsamankati keluar PKR (Komen Dari Cendangau Daunkari)



Sebelum ni pun aku memang ada yang tanya pasai Matsamankati ni. Depa tanya, "Betui ka dia nak keluar PKR." Ada sorang yang lain tanya "Betui ka dia nak masuk parti KITA."

Jawapan aku, kalau tak silap aku, cuma jawapan standard. "Mana aku tau. Tak kut. Tapi taktau la pulak."

Semalam, confirm dia istihar keluar dari PKR.
Dengan itu…aku mengambil sikap untuk berundur dari PKR. Aku bukan keluar PKR, sebab aku masih lagi memegang prinsip yang diperjuangkan. Tetapi aku tak sanggup lagi berada dalam PKR yang ada hari ini kerana ianya tidak lagi memegang prinsip yang diperjuangkan.

Maka dengan ini, aku mengisytiharkan, bahawa aku bukan lagi ahli PKR, bukan lagi penyokong PKR dan tidak ada kena mengena dengan PKR. Tetapi bukan bermakna aku memusuhi semua kerabat PKR. Masih ramai mereka yang didalam PKR yang aku hormati. Tetapi oleh kerana ianya dipimpin oleh mereka yang tidak lagi aku hormati, maka aku tidak lagi mahu bersubahat dengan mereka. - Ureka.asia
Kalau ada yang mintak komen aku, mungkin aku cuma akan jawab "Aku tak heran sangat dia keluar PKR, tapi kalau lepas ni dia masuk Umno, yang tu memang aku heran."


Setakat yang aku kenai MSK, dia jenis orang yang banyak idea. Dia ni bukan saja banyak idea tapi siap boleh perincikan macamana nak jalankan idea dia tu.

Orang jenis MSK ni sebenarnya tak berapa sesuai jadi orang parti. Tambah-tambah pulak realiti parti politik kat Malaysia ni, memang tak berapa nak boleh sejalan dengan cara dan pemikiran dia.

Orang macam MSK ni lebih sesuai kalau aktif dalam NGO. Lagi sesuai kalau kalau NGO tu dia yang ketuai sendiri. Senang dia nak jalankan idea dia berdasarkan kekuatan yang NGO tu ada.

Kalau buat kerja atas nama parti dan sebagai ahli parti memang susah. Nak dapat persetujuan dari pimpinan pun bukan mudah. Nak dapat kerjasama dari pimpinan lagi lah payah. Tambah-tambah lagi la kalau nak harap pimpinan ikut 'arahan' kita, memang tersangatlah payah.

Memang banyak idea dia yang pernah dia ceritakan kat aku, yang sebenarnya tak susah mana kalau nak buat. Dan ada idea dia yang memang sepatutnya pun dibuat. Tapi bila di tengok dengan realiti karenah birokrasi dan karenah organisasi yang ada dalam parti politik kat Malaysia ni, tak sesenang macam yang dia cerita.

Pasai tu aku tak heran kalau orang macam MSK berputus asa.

Kalau nak diikutkan, aku sendiri pun dah lama putus asa dengan PAS ni. Bukan takat putus asa, kadang-kadang sampai tahap meluat. Banyak sangat benda-benda yang patutnya dah lama PAS buat tapi PAS tak buat-buat. Banyak jugak benda yang tak sepatutnya PAS buat tapi boleh pulak PAS buat. Kalau PAS ni semata-mata parti politik dah lama aku cabut.

Tapi pasai PAS ni Parti Islam walaupun jauh dari sempurna, dasar PAS pun jelas walaupun sekali sekala nampak macam ada jugak lari, tujuan pun jelas walaupun kadang-kadang nampak macam ada tujuan lain, aku yakin PAS masih lagi pilihan terbaik yang ada walaupun tak cukup baik.

Aku rasa lebih baik aku duduk dalam PAS dari aku tak duduk dalam PAS. Lebih banyak manfaat aku duduk dalam PAS dari tak duduk dalam PAS.

Yang lebih penting, aku rasa aku masih boleh buat sesuatu melalui wadah PAS dan aku yakin ada untung dan ganjaran yang aku akan dapat. Kalau pun mungkin tak dapat di dunia tapi aku harap sangat aku tak terlepas dapat untung dan ganjaran di akhirat.

Apa pun, aku nak ucapkan Semoga maju jaya dan Selamat jalan untuk Matsamankati.

Cenangau Daunkari

Ulasan