PRN DUN Sarawak: DUN Perak Juga?

Artikel Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mendengar khabar angin dan melihat arahan turun padang kepada semua pimpinan Umno / Barisan Nasional (BN) Negeri Perak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan juga kekerapan jadual Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir bersama jentera Kerajaan Negeri Perak untuk menyelesaikan semua masalah rakyat sebagai ‘signal' bahawa kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Negeri Sarawak akan dibuat bersekali dengan DUN Perak adalah tidak mustahil berlaku dalam masa terdekat ini.

Andaian dalam masa terdekat ini adalah tidak mustahil apabila semua pimpinan Umno Bahagian seluruh Negara akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Mohd Najid Tun Abdul Razak sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN pada hari Sabtu ini. Termasuk juga pertemuan tertutup Datuk Seri Najib dengan semua Ahli Parlimen dan semua ADUN Sarawak baru-baru ini. Ditambah pula dengan mesyuarat tidak berpusat oleh Kabinet Jamaah Menteri yang diadakan di Kuantan, Pahang baru-baru ini yang juga telah dilaksanakan oleh Datuk Seri Zambry di Negeri Perak.

Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah adakah rakyat bersedia sekali lagi menolak BN atau BN akan terus menggunakan helah untuk menutup segala kelemahan pemerintahan mereka seolah-olah menjadikan masalah rakyat sebagai pancing untuk mengikat rakyat kekal bersama dengan BN. Rakyat tentu sedar bahawa masalah yang sedia ada adalah berpunca dengan lemahnya pengurusan pentadbiran BN selama ini. Sepatutnya semua masalah yang ada telah lama diselesaikan, ini kerana BN menjadikan segala masalah tersebut sebagai senjata menunjukkan bahawa mereka memberikan keutamaan kepada rakyat serta mendahulukan rakyat.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

http://pemudapasperak.com

Ulasan