|     PADANG SERAI, 2 Feb:   Walaupun N Gobalakrishnan keluar dari PKR, namun bagi pemimpin PAS  kawasan anggota Parlimen Padang Serai itu sudah keluar dari Pakatan  Rakyat dan perlu melepaskan jawatannya sebagai anggota Parlimen.
  Mereka  meminta Gobalakrisnan 'nyah' dari Padang Serai dengan meletakan jawatan  dan memberi mandat kepada rakyat memilih seorang ahli Parlimen yang  benar-benar bertanggungjawab dan beretika.
  Yang Dipertua PAS  Padang Serai, Fauzi Tahir menyifatkan, penyertaan Gobalakrisnan ke bebas  menyusahkan rakyat yang telah memberinya kemenangan atas tiket Pakatan  Rakyat yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  "Bukan masa  untuk bermain dalam politik sebaliknya nyah dari Padang Serai kerana  kami dan rakyat yang prihatin tidak mahu melihat mukanya lagi ekoran  sikapnya mengkhianat perjuangan, " jelasnya.
  Beliau patut sedar  dengan kedudukan tinggi itu semua merupakan hasil kepercayaan rakyat  yang telah menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 12  lalu.
  Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Serai, Abu Tolib Yahaya pula  berkata, Gobalakrisnan wajar letak jawatan atau menghadapi tekanan yang  lebih dahsyat menerusi demontrasi aman nanti.
  Rakyat sangat marah kerana tindakan itu merosakan imej Pakatan Rakyat ketika menghadapi pilihanraya umum ke 13 nanti.
  "Pemuda  PAS terpaksa mengadakan demontrasi aman bersama PKR dan DAP kerana  tidak mahu seorang ahli Parlimen yang suka melompat tetapi mahukan  seorang pejuang yang kuat dan teguh walaupun apa juga rintangan yang  dihadapi, " tegasnya. 
  Pengarah  Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Lunas, Haji Derani Wahab  pula berkata, sewaktu Adun Lunas Radzi Salleh letak jawatan  Gobalakrisnan adalah orang pertama menganjurkan ceramah menghentam  tindakan Radzi tetapi kali ini beliau pula menuruti langkah yang serupa.
  "Gobalakrisnan  akan menghadapi gelombang rakyat yang memarahinya dan besar kemungkinan  satu tindakan membantah langkahnya itu akan berkumandang.  Kita tidak  boleh sekat kerana itu adalah hak rakyat yang memberinya kemenangan, "  tambahnya.
  Sementara itu bekas Yang Dipertua PAS Padang Serai,  Ustaz Azmi Abdullah mengingatkan, Gobalakrisnan agar lepaskan jawatan  ahli Parlimen untuk diadakan pilihanraya kecil segera.
  Bukan  membiarkan parlimen ini diwakili oleh Ahli Parlimen Bebas yang akan  melupakan tanggungjawabnya terhadap rakyat setelah kecewa dengan sikap  parti yang disertainya.
  Beliau juga harus sedar jelasnya,  kedatangan Gobalakrisnan dulu hanya sehelai sepinggang dan PAS bekerja  bersungguh-sungguh memastikan kemenangan.
  "Saya sewaktu itu  merupakan orang yang bertanggungjawab penuh memperkenalkan Gobalakrisnan  dan membawanya ke semua lokasi berjumpa rakyat amat kecewa dan berharap  beliau lepaskan jawatan Ahli Parlimen kerana kami tidak mahu melihat  kelibatnya lagi di Padang Serai, " tegasnya yang lebih dikenali sebagai  'Ustaz topi merah'.HarakahDaily
 
 
  | 
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..