KUALA  LUMPUR 1 FEB : Keputusan pilihan raya kecil Tenang menunjukkan beban  Umno sebagai tukang usung MCA semakin bertambah, kata Naib Presiden PAS  Datuk Mahfuz Omar.
"MCA semakin lumpuh, seolah-olah sudah patah kaki dan tangannya. Umno kini mendapat kerja baru sebagai tukang usung MCA.
"Tak ada batu, beban digalas," katanya dipetik Harakah Daily.
Menurut  Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau dalam permainan bola, hanya Umno  sahaja yang berhempas pulas bergerak ke serata padang.
"Umno  terpaksa berlari sendirian sekeliling padang. Dialah penjaga gol, dialah  pemain pertahanan, dialah pemain tengah dan dialah penyerang.
"MCA  hanya jadi tukang bising suruh Umno buat itu ini dan tukang tengok di  dalam padang sedangkan tukang tengok atau penonton sepatutnya berada di  luar padang. Perkara tersebut dirungutkan oleh orang-orang Umno  sendiri," katanya.
Malah bukan setakat itu sahaja, kata Mahfuz,  MCA juga seolah-olah menjadi tukang sabotaj kempen Umno dengan perbuatan  menghina Islam sehingga menimbulkan kemarahan anak kandung Umno,  Perkasa.
Tidak cukup dengan itu, MCA juga seolah-olah mendorong pemimpin Umno menghina hukum Allah.
"Kerana  terpengaruh dan begitu seronok dengan permainan MCA menghina hukum  Allah, (Menteri Besar Johor, Datuk)  Abdul Ghani Othman dengan begitu  ghairah menghina hukum potong tangan sedangkan perkara itu merupakan  ketetapan Allah dalam al-Quran.
"Ketika DAP sedang belajar  berhenti mengecam hukum Islam walaupun tidak mahu dan tidak  menyokongnya, Umno tetap meneruskan watak sebagai penghina hukum Islam.
"Kalaupun tak mahu buat atau tak sokong, Umno tak sepatutnya menjadi pak turut MCA menghina hukum Islam," katanya.
Pilihan  raya kecil Tenang juga memperlihatkan kelemahan dan ketiadaan  pengalaman jentera Umno Johor untuk "berperang" dengan pembangkang.
"Kalau  tidak dibantu oleh jentera Umno dari luar, Umno Johor yang sudah biasa  menang mudah dan mengejek-ejek penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri  itu tak ubah seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.
Walaupun  dibantu oleh jentera Umno luar yang lebih pengalaman "berperang" dengan  pembangkang, katanya, Umno tetap terpaksa berhempas pulas untuk  menghadapi aura calon PAS, Normala Sudirman.
"Pelbagai fitnah  yang mereka sasarkan terhadap Normala dan keluarganya membuktikan Umno  merasa tergugat dengan keperibadian calon PAS itu," katanya.
Dengan  apa yang dihadapi oleh Umno dalam pilihan raya kecil Tenang itu, Mahfuz  menjangkakan zaman Umno menang mudah dan boleh bersenang lenang  menghadapi pilihan raya di Johor akan semakin berakhir. TVSNEWS
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..