Kes Fitnah 2 : Giliran Ahli Kimia Forensik DNA Kemuka Keterangan ( Kemaskini)


KUALA LUMPUR 23 FEB : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memanggil Ketua Unit DNA Paterniti, Divisyen Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon selaku saksi ke enam perbicaraan kes fitnah 2, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saksi yang kini bekerja di Jabatan Kimia, Petaling Jaya sejak 12 tahun dahulu memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menguruskan lebih dari 100 ribu sampel DNA sepanjang kariernya.

Aidora yang mengambil tempat di kandang saksi jam 9.30 pagi memberitahu mahkamah bahawa beliau berada di makmal kimia, Jabatan Kimia Malaysia pada 17 Julai 2008 hari bungkusan plastik D, D1, D2, dan D3 diperolehi.

Keempat-empat bungkusan tersebut menurutnya diterima daripada seorang anggota polis, DSP Jude Blacious Pereira pada hari yang sama untuk dibuat analisa pengecaman 'Deoxyribonucleic Acid' (DNA).

Bahan-bahan bukti yang terkandung dalam keempat-empat bungkusan itu termasuk sehelai kertas, berus gigi, tuala muka dan botol air mineral yang dipertontonkan kepada mahkamah.

Walaubagaimanapun katanya, DSP Jude tidak memberitahu lokasi dan tempat bahan bukti tersebut diperoleh apabila ditanya Timbalan Pendakwaraya (DPP), Noorin Baharuddin.

Jangkamasa 19 hari daripada tarikh pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis (28 Jun 2008) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menimbulkan tandatanya di kalangan peguambela.

Peguam Sankara Nair yang dihubungi Tv Selangor kemudian enggan mengulas berikutan pihak peguambela sedang meneliti perkara tersebut.

"Kita tidak mahu komen mengenai perkara itu lagi setakat ini kerana sesi soalbalas beliau (Aidora) masih belum selesai," kata beliau.

Aidora dijangka akan kembali ke kandang saksi pada 25 Februari nanti.

Dalam sesi soalbalas sebelah pagi, DPP Noorin menyoal Aidora tentang keadaan empat bungkusan yang diterima daripada DSP Jude pada tarikh tersebut.

"Masih dalam keadaan baik dan ditutup rapat," jelas Aidora selain peguambela kemudian diberi peluang menyemak bungkusan plastik tersebut.

Justeru mahkamah mendapati terdapat lima bungkusan sampul dan saksi menjelaskan bahawa sampul terakhir ditambah oleh beliau untuk mengasingkan sehelai rambut yang ditemui.

"Ketika membuat analisis, saya jumpa rambut pada bahan pameran berlabel D2 dan saya letakkan dalam sampul baru dan melabelkannya sebagai D2(a)," katanya lagi.

Beliau menambah, pemprofilan DNA dilakukan pada hari berikutnya dan keputusan lengkap diperolehi beliau pada 21 Julai 2008.

Seterusnya prosiding terhenti apabila peguam Karpal Singh mendapati Aidora merujuk laporan Kiraan Statistikal yang diperoleh melalui perbandingan dua laporan Elektroferograf (EPG) antara beliau dan saintis forensik DNA, Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong.

Dalam perbandingan tersebut Aidora berkata telah menemui DNA 'lelaki Y' pada tuala muka, berus gigi dan botol mineral sama seperti laporan Dr Seah. Justeru pihak peguambela menuntut mahkamah membekalkan laporan tersebut untuk diteliti.

"Graf adalah rumit dan perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar kimia," ujar Sankara Nair.

Hakim Zabidin Mohd Diah kemudian menangguhkan prosiding jam 3.30 petang untuk memberi lalu kepada peguambela meneliti laporan tersebut dan seterusnya memanggil semula saksi Aidora pada hari Jumaat nanti.

Pendakwaraya dijangka akan mengemukakan saksi baru bagi prosiding yang akan bermula jam 8.30 pagi esok. TVSNEWS

Ulasan