Azmin : Anggap kenyataan adik fitnah



PETALING JAYA – Kenyataan demi kenyataan oleh Ummi Hafilda Ali untuk menyerang abangnya, Azmin, semata-mata dianggap fitnah oleh Timbalan Presiden PKR itu.

Sehubungan itu, kata Azmin "Fitnah tidak perlu diulas."

"Saya tak minat nak komen fitnah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat mingguan kepimpinan PKR di sini, semalam.

Azmin berkata, orang ramai sudah muak dengan apa yang didedahkan Ummi Hafilda.

"Sehubungan itu, saya tak fikir ia akan menjejaskan PKR," katanya.

Ummi Hafilda dalam kenyataan baru-baru ini mendakwa, Azmin bertindak tidak wajar terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan bekas Perdana Menteri itu telah begitu banyak berjasa kepadanya sebelum beliau diambil bekerja dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Ummi Hafilda juga mendakwa mempunyai bukti kukuh salah laku moral yang dilakukan Anwar dan abangnya sehingga menyebabkan Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir.

Ummi Hafilda juga pernah menyatakan mahu memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar, Azmin; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi DAP, Karpal Singh, dan Pas atas dakwaan salah laku mereka terhadapnya pada 1997.SinarHarian

Ulasan