Anwar : Rapatkan Saf, Perkukuh Perjuangan


KUCHING 6 FEB : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh pimpinan parti di negeri ini supaya merapatkan saf perjuangan dan bekerja kuat untuk menghadapi pilihanraya negeri yang bakal diadakan.

Menurut beliau, sebelum membicarakan kerusi mana yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat, adalah lebih mustahak, semua pihak dalam parti bekerja dengan lebih tekun untuk memastikan program dan perancangan Pakatan Rakyat disampaikan secara meluas.

" Kita bergerak dengan keyakinan bahawa rakyat akan membuat pilihan yang baik. Beberapa pemilihan kerusi, berapa yang kita boleh menang, itu kita kena kerja dulu.
" Usaha kita adalah untuk bekerja sekuat mungkin, membuktikan bahawa kita ada program yang lebih baik, sebab itu kita kemukakan Buku Jingga," ujar Anwar pada sidang media yang diadakan di Hotel Grand Continental, di sini, hari ini .

Anwar dalam program jelajah dan Sambutan Tahun Baru Cina di negeri ini bermula semalam, turut bermesyuarat bersama Majlis Pimpinan Negeri Sarawak, yang antara lain membincangkan berhubung pilihanraya negeri yang masih belum ditetapkan tarikhnya.

Tambah Anwar, apa yang perlu dilakukan pada masa ini ialah memperkasakan jentera parti, menyebar luas dasar yang dibawa, sementara selebihnya, terpulang kepada rakyat.

Namun katanya, beliau berkeyakinan, rakyat Sarawak yang sudah muak dengan politik Barisan Nasional akan membuat pilihan bijak seraya mengenepikan pimpinan rakus yang menzalimi rakyat sejak sekian lama.

" Bagi saya, melihat kepada suasana politik ekonomi di Sarawak, tidak ada pilihan. 50 tahun Barisan Nasional, begitu keadaannya, malap,lembab, suara keangkuhan, media dikuasai oleh mereka, tanah dirampas, tidak ada jalan keluar.

" Apa (berlaku pada) orang Iban, Ulu, Bidayuh, Melayu, Melanau dan Cina yang miskin di bandar ini? Mereka ini kelas apa? Kelas dua. Adakah 1 Malaysia itu untuk kelas atas? Mereka tidak ada pilihan," tambah Anwar lagi.TVSNEWS

Ulasan