Dr Asri : Rakyat Akan Bangkit Jika Terus Ditindas


SHAH ALAM 13 FEB : Bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainol Abidin berkata tidak mustahil kuasa rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak di Mesir berlaku di Malaysia jika penduduk negara ini tidak tahan dengan kekangan dan penindasan.

Beliau berkata walaupun Malaysia jauh makmur berbanding Mesir, rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis.

"Dari segi kemiskinan kita tak sama, Mesir ada 42 peratus rakyat di bawah taraf kemiskinan. Dari segi faktor yang menyumbang ruang seperti Internet, mungkin Malaysia lebih. Tapi ketidakpuasan hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya.

Justeru Asri berkata, mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia terdedah kepada menghadapi kuasa rakyat di jalanan jika terlampau mengekang dan menindas penduduk khususnya bersabit hak asasi mereka.

Asri berkata Mesir menjadi contoh bagaimana sebuah kerajaan kuku besi dijatuhkan semata-mata menerusi penduduk yang tidak menggunakan kekerasan, mereka hanya berbekal tekad dan iltizam untuk mengubah nasib mereka.

"Kalau ada faktor-faktor tidak puas hati itu merebak ke dalam rakyat, saya rasa tak mustahil perkara yang sama boleh berlaku. Kerana kejadian perubahan di Mesir beri pengajaran kepada semua pemerintah bahawa perubahan boleh berlaku bukan dengan cara dulu tapi dengan cara baru, kuasa rakyat turun di jalan tanpa senjata, tanpa peluru dan hanya menzahirkan pendapat mereka," katanya.

Asri menegaskan pengaruh Internet dan keluhan generasi muda tidak boleh diambil ringan dalam era globalisasi sebagaimana yang terbukti dalam kes Mesir.

"Bermula dari mereka dididik untuk meluahkan perasaan di facebook, di blog mereka, mereka luahkan di jalan raya. Tak perlu nak rosakkan harta awam, tetapi mereka turun demi kepentingan rakyat beramai-ramai. Tentera dilatih hadapi orang bersenjata tapi dilatih hadapi rakyat tak bersenjata. Jadi mereka terpinga-pinga di hadapan kuasa rakyat yang tak bersenjata," ujar Asri lagi.TVSNEWS

Ulasan